mutakhir

Polis Subang Jaya catat kadar pertuduhan tertinggi

Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa

PASUKAN polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Subang Jaya melakar sejarah tersendiri apabila mencatat kadar pertuduhan jenayah tertinggi berbanding daerah lain di Selangor untuk 2017.

Ketua Polis Daerahnya, Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari, berkata Bahagian Siasatan Jenayah yang diketuai Deputi Superintendan Shan Gopal Krishnan berjaya membuat pertuduhan sebanyak 35.77 peratus daripada jumlah kes sepanjang tahun lalu.

Katanya, sepanjang tahun lalu 1,465 kes jenayah direkodkan di daerah berkenaan dan jumlah berkenaan menurun 29.5 peratus berbanding 2016 iaitu sebanyak 2,077 kes.

“Daripada jumlah itu, 524 kes sudah dituduh di mahkamah iaitu sebanyak 35.77 peratus.

“Peratusan pertuduhan kes jenayah meningkat berbanding 2016 iaitu lebih tujuh peratus,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, kadar pertuduhan jenayah yang dicatatkan daerah berkenaan adalah yang tertinggi berbanding daerah lain di Selangor.

“Pencapaian ini hasil keberkesanan siasatan yang dilakukan oleh barisan pegawai penyiasat yang ditugas menggalas cabaran yang diamanahkan masyarakat.

“Daerah ini sudah mendominasi kejuaraan pertuduhan tertinggi dan tirai manis 2017 ini diharapkan tidak hanya terhenti di sini sahaja. Pastinya, cabaran yang lebih getir bagi mengekalkan pencapaian ini,” katanya.

Disiarkan pada: January 2, 2018 @ 6:59pm
d