mutakhir

Meninggal dunia bukan sebab MERS-CoV

Oleh Nor Farhani Che Ad

AHLI keluarga seorang guru, Noor Baiti Murad, 51, menafikan wanita itu yang meninggal dunia hari ini berpunca daripada Sindrom Pernafasan Virus Korona Asia Barat (MERS-CoV).

Suaminya, Sharbani Jamaluddin, 53, berkata, arwah meninggal dunia selepas sistem sokongan hayat ditanggalkan apabila wanita itu disahkan mati otak akibat meningitis.

Katanya, arwah menunjukkan simptom penyakit itu seminggu selepas mereka berdua pulang dari mengerjakan umrah pada 16 Disember lalu.

"Seminggu selepas kami pulang, arwah mengadu sakit di leher sehingga tidak mampu menggerakkan langsung anggota badan.

"Dalam masa sama saya juga mengalami demam panas sebelum kami dimasukkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) pada 22 Disember lalu," katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Seri Tanjung, Sungai Layar, Sungai Petani, hari ini.

Sharbani berkata, masalah kesihatan yang dialaminya itu mungkin berpunca daripada keadaan cuaca yang tidak menentu sehingga dia mengalami demam panas, bagaimanapun pihak hospital mengesahkan dirinya negatif MERS-CoV.

Katanya, dia dibenarkan pulang pada Khamis lalu manakala isterinya masih dalam keadaan tidak sedarkan diri.

"Dua hari lalu, doktor sudah mengesahkan arwah mengalami mati otak dan semalam pihak hospital memanggil kami sekeluarga untuk meminta kebenaran menanggalkan sistem sokongan hayat pada arwah.

"Pagi tadi, alat berkenaan ditanggalkan dan arwah disahkan meninggal dunia pada 11.35 pagi," katanya.

Sharbani berharap tiada lagi spekulasi mengenai kematian arwah isterinya dikaitkan dengan penyakit MERS-CoV.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Kedah Datuk Dr Norhizan Ismail ketika dihubungi juga mengesahkan mangsa meninggal dunia bukan berpunca MERS-CoV.

Disiarkan pada: January 2, 2018 @ 8:15pm
d