mutakhir

Mangsa banjir Johor menurun

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

SEMBILAN pusat pemindahan sementara (PPS) mangsa banjir masih dibuka di Mersing dan Kota Tinggi, tetapi jumlah mangsa sudah berkurangan daripada 379 orang tengah hari tadi kepada 352, pada 7 malam.

Bagaimanapun, jumlah keluarga yang dipindahkan ke PPS masih kekal 95 keluarga.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Johor, Datuk Ayub Rahmat berkata, jumlah mangsa di Kota Tinggi kini tinggal 33 mangsa daripada lapan keluarga dan masih ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Telok Ramunia dan Surau Sungai Buntu.

Katanya, mangsa banjir di Mersing pula berkurangan ke 319 daripada 345 mangsa, namun membabitkan tambahan sebuah lagi keluarga menjadi 87 keluarga.

"PPS Balairaya Taman Nakhoda kini sudah merekodkan 19 mangsa yang dipindahkan membabitkan enam keluarga, manakala di PPS SK Air Papan terdapat 32 keluarga dengan 110 mangsa," katanya.

Lima PPS lain yang masih dibuka di Mersing ialah SK Tenglu dengan 19 keluarga dan 61 mangsa; Balairaya Serbaguna Kampung Benaung dengan enam keluarga, 40 mangsa; PPK Endau menempatkan 39 mangsa daripada 11 keluarga; Sekolah Agama Pengkalan Batu dengan lima keluarga dan 20 mangsa serta Balairaya Kampung Air Merah terdapat 30 mangsa daripada lapan keluarga.

Di Mersing, sebanyak sembilan kawasan yang terjejas iaitu Taman Nakhoda; Air Papan; Kampung Tanjung Genting; Kampung Tenglu Besar; Kampung Kelantan, Semanyir, Endau; Kampung Air Tawar; Kampung Pengkalan; Kampung Air Merah dan Kampung Jemari.

Disiarkan pada: January 2, 2018 @ 8:23pm
d