mutakhir

Terkedu lelaki datang bawa pisau

Oleh HM Digital

Batang Kali: “Saya terkedu melihat lelaki itu datang sambil mengeluarkan pisau pemotong daging dan meminta wang,” kata Siti Nazerah Othman, 28, pekerja sebuah farmasi yang disamun di Jalan Meranti 2B di sini, Ahad lalu.

Menceritakan kejadian jam 9.40 malam itu, dia menyangka penjenayah bertopi keledar penuh berkenaan hanya pelanggan biasa.

“Namun, dia menghunus pisau sambil menjerit supaya tidak cuba melakukan apa-apa.

“Bimbang dicederakan, saya hanya mampu melihat dia mengambil wang daripada laci simpanan sebelum bergegas melarikan diri,” katanya ketika ditemui Harian Metro di tempat kejadian, semalam.

Kata Siti Nazerah, kejadian itu berlaku dalam tempoh kurang dari 30 saat.

“Ketika kejadian, saya dan seorang rakan sekerja lain sedang bersiap menutup farmasi yang beroperasi jam 9 pagi hingga 10 malam.

“Kami bersyukur kerana tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Batang Kali untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Lim Bhak Pai berkata, suspek melarikan wang tunai RM2,300 dengan menaiki motosikal.

Disiarkan pada: January 3, 2018 @ 9:45am
d