mutakhir

Rugi RM25,000 mesin token dipecah

Oleh HM Digital

Melaka: Pengusaha dobi layan diri kerugian kira-kira RM25,000 selepas mesin token di premisnya di Taman Tangga Batu Perdana di sini, dipecahkan tiga lelaki, semalam.

Faiz Mohd Noor, 34, berkata, kerugian itu membabitkan kerosakan mesin token dan wang tunai yang dilarikan.

Menurutnya, dia menyedari kejadian itu pada jam 6.50 pagi selepas meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menerusi telefon bimbitnya sejurus menerima notifikasi amaran daripada sistem penggera keselamatan dipasang.

“Ketika meneliti rakaman CCTV diterima secara langsung, saya dapati tiga lelaki itu sedang memecahkan dua mesin token sebelum beredar bersama wang tunai.

“Saya terus hubungi polis namun penjenayah sempat melarikan diridengan menunggang dua motosikal sebelum polis tiba,” katanya.

Menurut Faiz, penjenayah mengambil masa setengah jam untuk memecahkan mesin token malah seorang daripada mereka membawa parang.

Dia kemudiannya melaporkan kejadian di Balai Polis Tanjung Keling.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Mohd Kamal Zainal ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian terbabit.

Disiarkan pada: January 3, 2018 @ 10:00am
d