mutakhir

702 majikan sudah mohon

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

Putrajaya: Setakat semalam, 702 majikan mendaftar masuk bagi memohon pembantu rumah asing (PRA) menerusi Sistem Maid Online (SMO) yang mula dibuka pendaftarannya sejak Isnin lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Datuk Seri Mustafar Ali berkata, SMO yang dibuka untuk pendaftaran menerusi laman web http://maid-online.imi.gov.my sejak Isnin lalu merekodkan 25,719 pelawat.

Beliau berkata, setakat ini laman web itu diakses dengan mudah dan lancar serta pelawat boleh membuat penelitian terlebih dulu, memahami syarat serta prosedur permohonan pembantu rumah, mendapat maklumat asas dan terperinci daripada soalan lazim ditanya sebelum memulakan proses pendaftaran.

“Daripada 25,719 pelawat laman web ini, 702 majikan mendaftar permohonan PRA mereka. Namun ada majikan yang tidak menyelesaikan proses pendaftaran kerana perlu melengkapkan syarat permohonan PRA masing-masing,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Katanya, pihaknya mengesan beberapa ralat dalam langkah pendaftaran ketika majikan mula memasukkan data pendaftaran.

Mustafar berkata, langkah serta-merta diambil dengan membuat penambahbaikan bagi memastikan perjalanan pendaftaran dan operasi SMO berjalan lancar sejajar dengan tujuan program ini iaitu cepat, tepat dan jimat.

Menurutnya, SMO disediakan untuk kemudahan majikan yang ingin memohon PRA dengan cepat, tepat dan jimat tanpa melalui ejen.

Disiarkan pada: January 3, 2018 @ 10:38am
d