mutakhir

440,000 mula sesi sekolah tahun satu [METROTV]

Oleh HM Digital

Seremban: Seramai 440,000 murid tahun satu memulakan sesi persekolahan 2018 di seluruh negara kelmarin dan semalam.

Jumlah itu meningkat berbanding 435,882 murid yang mendaftar pada 2017.

Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Chong Sin Woon berkata, pihaknya yakin akan ada pertambahan bilangan murid dalam tempoh seminggu ini berikutan ada ibu bapa lewat mendaftarkan anak mereka.

“Sesi persekolahan tahun ini bermula kelmarin bagi beberapa negeri yang cutinya jatuh pada Jumaat manakala semalam membabitkan negeri yang bercuti pada Ahad.

“Pengurusan pendaftaran dan kemasukan murid ke sekolah kebangsaan (SK) berjalan lancar.

“Kami tidak menerima laporan atau masalah membabitkan murid baru mendaftar.

“Malah, sehingga kini, tiada laporan sekolah kekurangan murid namun kementerian akan terus memantau dengan kerjasama jabatan pendidikan negeri,” katanya selepas melawat Sekolah Kebangsaan King George V, Ampangan di sini, semalam.

Hadir sama Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) Pkharuddin Ghazali.

Chong berkata, keseluruhan, 10,189 sekolah kebangsaan dan menengah beroperasi membabitkan 4.7 juta murid juga pelajar.

“Ia membabitkan sekolah teknik, sekolah sukan, sekolah agama dan sekolah jenis kebangsaan (SJK),” katanya.

Mengenai kakitangan atau guru, beliau berkata, ada guru baru lepasan siswazah ditempatkan di beberapa sekolah terpilih terutama yang menghadapi masalah kekurangan guru menjelang Mac ini.

“Pada masa sama, murid atau pelajar yang mempunyai buku teks yang rosak perlu menukarkannya kepada buku baru atau yang elok dengan merujuk kepada guru masing-masing di sekolah,” katanya.

Disiarkan pada: January 3, 2018 @ 10:51am
d