mutakhir

12 penjenayah 'masuk jerat'

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kajang: ‘Masuk jerat’. Itu yang berlaku apabila seramai 12 penjenayah ‘berbahaya’ dikehendaki polis gagal meloloskan diri ketika melalui sekatan jalan raya.

Semua mereka diberkas melalui Operasi Cegah Jenayah Bersepadu sekitar daerah ini sejak malam ambang merdeka.

Dalam operasi khas itu, pihak polis daerah Kajang menjalankan sekatan jalan raya di beberapa lokasi membabitkan sekitar Lebuhraya Besraya, Lebuhraya Grand Saga, Saujana Impian, Sungai Ramal keluar ke lebuhraya, Jalan Kajang ke Semenyih dan Pekan Semenyih ke susur keluar Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS).

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff berkata, seramai 89 pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang menjalankan sekatan jalan raya di enam lokasi berkenaan.

Menurutnya, operasi itu bukan saja bagi mengenal pasti pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan trafik malah bertujuan menjejaki individu yang mempunyai waran tangkap membabitkan kes jenayah serta penyalahgunaan dadah.

“Dalam operasi itu kami berjaya menahan 12 individu berusia 20-an hingga 40-an yang dipercayai terbabit dengan pelbagai kes jenayah termasuk curi kenderaan serta penyalahgunaan dadah,” katanya.

Ahmad Dzaffir berkata, pihaknya menjalankan pemeriksaan terhadap 262 kenderaan dan 287 individu dalam operasi itu.

“Kami mengeluarkan 61 saman terhadap pengguna jalan raya atas pelbagai kesalahan dalam operasi berkenaan.

“Pada masa sama, kami merampas tiga motosikal yang dipercayai kenderaan curi. Pihak polis turut menahan individu yang memiliki dadah jenis syabu selain positif dadah berkenaan,” katanya.

Menurutnya, semua tangkapan dibawa ke IPD Kajang untuk tindakan lanjut.

Disiarkan pada: January 3, 2018 @ 10:59am
d