mutakhir

Pilunya hati ibu...

Oleh Zulfa Mohamad

SEORANG ibu yang baru pulang terkejut apabila menemui anak lelakinya berusia 16 tahun dalam keadaan tergantung di tepi tangga dalam rumah mereka di Taman Desa Murni, Butterworth, malam tadi.

Mayat pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bagan Jaya itu ditemui kira-kira jam 9.30 malam selepas ditinggalkan ibu bapanya yang keluar rumah pada jam 8.15 malam.

Polis yang menerima maklumat kemudian bergegas ke rumah berkenaan dan menemui mayat remaja itu dalam keadaan tergantung dan tiada sebarang kesan pecah masuk.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, ibu mangsa mendakwa kali terakhir bersama anak lelakinya itu pada jam 8.15 malam sebelum keluar kerana mempunyai urusan.

“Ibu remaja itu mendakwa pulang ke rumah pada jam 9.30 malam sebelum menemui anaknya dalam keadaan tergantung di tepi tangga.

“Polis yang menjalankan siasatan mendapati keadaan rumah tidak berselerak selain tiada unsur jenayah dikesan,” katanya.

Beliau berkata, tiada sebarang nota ditemui di sisi mayat remaja berkenaan.

Menurutnya, setakat ini, polis mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai mati mengejut dan mayat remaja itu dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat.

Disiarkan pada: January 3, 2018 @ 11:58am
d