mutakhir

15 sekolah ditutup akibat banjir di Pahang

Oleh Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

EMPAT lagi sekolah di Pahang terpaksa ditutup, menjadikan keseluruhan 15 sekolah ditutup berikutan banjir di negeri itu berbanding hanya 11 sekolah, semalam.

Sekolah yang terpaksa ditutup hari ini adalah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Taman Tas, Sekolah Kebangsaan (SK) Jaya Gading, SJKC Yoke Shian di Kuantan serta SJKC Mela, Lipis.

Pemangku Pengarah Jabatan Pendidikan Pahang Dr Tajuddin Mohd Yunus, penutupan itu membabitkan 3,132 pelajar daripada 14 sekolah rendah serta satu sekolah menengah.

Beliau berkata, sekolah lain yang ditutup di Kuantan adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Lembing, SJKC Sungai Lembing, SK Nadak, SK Sungai Lembing, SK Sungai Mas, SJKC Panching, SJKC Taman Tas, SJKT Kuala Reman, SK Panching dan SK Bukit Kuin.

Turut ditutup adalah SK Acheh di Pekan dan SK Gintong di Jerantut.

Menurutnya, semua sekolah berkenaan terpaksa ditutup kerana kerana pelbagai termasuk dinaiki air, digunakan sebagai pusat pemindahan banjir selain beberapa jalan yang menghubungkan sekolah berkenaan terputus hubungan.

“Apabila keadaan banjir semakin buruk dan boleh mendatangkan bahaya kepada guru dan pelajar, kita perlu mengambil keputusan menutup sekolah berkenaan sehingga diberitahu kelak,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Bagaimanapun, katanya, apabila banjir pulih, semua sekolah berkenaan mungkin mengambil sedikit masa untuk dibuka semula kerana kerja pembersihan perlu dilakukan dan peralatan yang rosak perlu diganti sebelum sesi persekolahan dapat diteruskan.

Disiarkan pada: January 3, 2018 @ 12:19pm
d