mutakhir

Terjun laut, tinggalkan bot

Oleh Norasikin Daineh

EMPAT bot pam disyaki digunakan untuk aktiviti pengeboman ikan dirampas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berhampiran Teluk Karambunai, Kota Kinabalu, semalam.

Dalam kejadian 2.05 petang itu, empat bot berkenaan berjaya ditahan namun beberapa individu dipercayai awak-awak bertindak terjun ke laut sebelum melarikan diri ke kawasan hutan berhampiran.

Pengarah APMM Daerah Maritim 15 Kota Kinabalu, Laksamana Pertama Maritim Adam Aziz berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam pada 1.55 tengah hari.

"Sebuah bot Kilat 39 yang sedang beroperasi diarahkan ke lokasi dan ketika bot ronda cuba menghampiri untuk memintas, empat bot berkenaan pecut ke kawasan pesisir pantai yang berbatu di Teluk Karambunai manakala sampan menggunakan enjin sangkut melarikan diri ke arah berlainan.

"Semua awak-awak terjun ke laut dan berjaya meloloskan diri meninggalkan empat bot berkenaan," katanya dalam kenyataan media di Kota Kinabalu, hari ini.

Adam berkata, hasil pemeriksaan lanjut terdapat pelbagai jenis ikan di dalam empat bot berkenaan.

"Ikan sebanyak 30 kilogram disyaki ditangkap menggunakan kaedah bom dan bot itu dirampas dipercayai untuk kegunaan aktiviti berkenaan.

"Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana dipercayai menangkap ikan menggunakan kaedah bom," katanya.

Terdahulu, Adam berkata, APMM memandang serius terhadap aktiviti pengeboman ikan kerana ia menyalahi undang-undang.

"Tindakan tegas akan diambil oleh APMM terhadap individu yang didapati terbabit dalam aktiviti ini.

"Sehubungan itu, saya meminta komuniti maritim khususnya di daerah ini terus memberi maklumat berhubung aktiviti pengeboman ikan bagi memastikanperairan kita bebas daripada sebarang aktiviti jenayah," katanya.

Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada bilik operasi 24 jam di talian 088-387845 atau talian kecemasan 999.

1. EMPAT bot pam yang ditahan APMM berhampiran Teluk Karambunai, Kota Kinabalu. Pix ihsan APMM (dalam sistem)

Disiarkan pada: January 3, 2018 @ 4:34pm
d