mutakhir

Suspek kes samun juga

Oleh Mohd Sabran Md Sani

SIASATAN Polis Johor mendapati suspek dalam kes pembunuhan tragis di stesen minyak Taman Pelangi, Johor Bahru, 17 Disember lalu turut terbabit kes samun di Kulai dan Batu Pahat.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, sehubungan itu pihaknya masih meneruskan siasatan dan bukan saja terarah kepada kes bunuh saja.

"Kita juga sudah mengenal pasti suspek yang menikam mangsa bahkan lebih banyak benda baru akan ditemui dalam kes itu dan bukan menjurus kepada bunuh saja.

"Dalam masa terdekat kita juga akan teruskan dengan pertuduhan," katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga sedang mencari pisau dipercayai dibuang di laluan menghala ke Desaru.

"Kita kini sedang mengesan senjata itu di laluan berkenaan," katanya.

Katanya, pihaknya juga tidak akan membubarkan 'task force' dan usaha siasatan dilakukan masih diteruskan.

"Ia tidak dibubarkan kerana kes ini bukan saja membabitkan ruang lingkup rapi ada perkembangan," katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas lanjut siasatan berkaitan kejadian lelaki maut diserang sekumpulan empat lelaki menaiki BMW akibat ditikam sebelum dilanggar dan digilis, 17 Disember lalu.

Susulan kejadian itu, Polis Johor menahan 15 suspek termasuk empat wanita berusia 16 hingga 26 tahun dalam beberapa siri tangkapan di Pulau Pinang, Johor Bahru dan Singapura bagi membantu siasatan.

Mahkamah Majistret Johor Bahru, sebelum ini turut membenarkan tempoh tahanan reman lelaki yang ditahan bagi membantu siasatan kes pembunuhan mangsa yang juga ahli kumpulan kongsi gelap di stesen minyak itu yang disambung ke 4 Januari ini.

Majistret Mohd Azlan Shah Mohd Allias membenarkan sambungan tempoh reman selama tujuh hari itu selepas dimohon oleh pegawai penyiasat kes bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat terhadap suspek.

Suspek berusia 22 tahun itu antara tujuh lelaki yang ditahan di Singapura pada 20 Disember lalu, sebelum mereka direman seminggu berakhir hari ini.

Bagaimanapun, enam yang lain serta seorang lagi suspek yang ditahan reman bersama-sama dibebaskan.

Difahamkan, suspek yang disambung reman itu disyaki adalah individu yang mempunyai maklumat mengenai suspek berikutan ada keterangan saksi menunjukkan dia bertemu dengan suspek utama kes pembunuhan itu sebelum kejadian.

Berita berkaitan

Hutang dadah punya hal [METROTV]

Suspek tikam, gilis direman seminggu [METROTV]

Perang kongsi gelap: 2 ditahan

[UPDATE] Angkara dendam kongsi gelap

Ditikam, dilanggar, digilis sampai mati [METROTV]

Disiarkan pada: January 3, 2018 @ 5:06pm
d