mutakhir

Didakwa pecah amanah RM864,000

Oleh Mary Victoria Dass

SEORANG lelaki berusia 64 tahun yang juga bekas pegawai eksekutif syarikat pengangkutan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Johor Bahru terhadap tiga tuduhan pecah amanah mengakibatkan majikannya kerugian RM864,000 sejak lapan tahun lalu.

Chan Foo Chin, didakwa melakukan perbuatan itu di pejabat DKSH Transport Agencies (M) Sdn Bhd di Kawasan Perindustrian Pasir Gudang pada 27 Februari 2009, 28 Februari 2010 dan 11 Mei 2012.

Tertuduh didakwa melulus atau membenarkan pembayaran berjumlah RM288,000 sebanyak tiga kali kepada sebuah syarikat konsortium di Johor Bahru.

Dia didakwa mengeluarkan cek bagi pembayaran kerja pengalihan kontena dijalankan syarikat konsortium berkenaan di tiga lokasi berbeza bagi tempoh 12 bulan walaupun kerja itu sepatutnya tidak perlu dibayar oleh syarikat majikannya.

Chan didakwa mengikut Seksyen 409, Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan dan boleh didenda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Khazrin Hafiz Halil manakala tertuduh diwakili Sukaimi Maskot.

Terdahulu, pihak pendakwaan mencadangkan tertuduh diikat jamin RM200,000 selain pasport antarabangsanya diserahkan kepada mahkamah hingga kes selesai.

Bagaimanapun, Sukaimi memohon tertuduh dikenakan jaminan rendah sebanyak RM50,000 kerana jaminan yang dicadangkan itu di luar kemampuan anak guamnya.

Menurutnya, anak guamnya hanya berpendapatan RM2,000 dan masih menyara isteri, seorang anak saudara serta seorang anak tiri.

Hakim Mohd Fauzi Nasir menetapkan ikat jamin sebanyak RM150,00 bagi semua pertuduhan dan memerintahkan tertuduh menyerahkan pasport antarabangsanya kepada mahkamah.

Beliau menetapkan 27 Februari sebagai tarikh sebutan semula kes.

Disiarkan pada: January 3, 2018 @ 5:11pm
d