mutakhir

Tokey air ketum ditahan [METROTV]

Oleh Mohd Hasbi Sidek

POLIS Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur merampas daun dan air ketum dianggarkan bernilai RM6,376 dan menahan empat lelaki dalam serbuan di rumah di Jalan Bakubang 1, Taman Setapak, Setapak, petang Isnin lalu.

Serbuan 3.45 petang itu dilakukan pasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Wangsa Maju.

‎Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mazlan Lazim berkata, semua suspek berusia dari 21 hingga 56 tahun dan kumpulan itu diketuai lelaki dikenali sebagai Ayah Non.

‎"Hasil pemeriksaan berjaya merampas 96 bungkus daun ketum seberat 96 kilogram (kg), 217 bungkusan air ketum seberat 173.6 liter dan satu besen besar berisi daun ketum seberat 20 kg.

‎"Dua daripada suspek didapati positif dadah jenis methaphetamine. Manakala Ayah Non didapati mempunyai enam rekod jenayah, " katanya ketika sidang media di IPK Kuala Lumpur.

Beliau berkata, suspek ditahan reman selama tujuh hari sehingga 7 Januari depan untuk siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

‎Tambah beliau, bekalan daun ketum diperolehi dari negeri di utara dengan menyoroknya di dalam beg dan menggunakan bas ekpress untuk berulang alik ke Kuala Lumpur sebelum ia diproses di rumah yang disewa di Setapak dan diedarkan untuk pasaran di ibu kota.

‎"Mereka mendapat permintaan tinggi di sini dengan memperolehi keuntungan kira-kira RM20,000 sebulan.

‎"Setiap bungkusan mengandungi 1 liter air dijual dengan harga RM10," katanya.

Disiarkan pada: January 3, 2018 @ 5:39pm
d