mutakhir

Mana nak lari

Oleh Iskandar Shah Mohamed

JABATAN Imigresen Selangor menggempur 12 lokasi premis termasuk restoran dan kedai runcit di sekitar Padang Jawa, Shah Alam yang membawa kepada penahanan 37 pendatang asing tanpa izin (PATI).

Operasi itu turut membabitkan beberapa rumah yang dijadikan sebagai kediaman bermastautin mereka sejak enam bulan lalu.

Dalam Ops Ikrar bermula 9.30 malam semalam hingga 2 pagi hari ini, semua PATI termasuk wanita dan kanak-kanak berkenaan ditahan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah serta tamat tempoh pas.

Pengarah Imigresen negeri Omran Omar berkata, operasi itu dijalankan selepas menerima aduan awam dan risikan pihaknya mengenai kewujudan PATI di sekitar kawasan terbabit.

"Bertindak atas maklumat itu, kita menggempur 12 lokasi terdiri daripada rumah, restoran dan kedai runcit.

"Seramai 56 warga asing diperiksa dan 37 daripada mereka ditahan atas kesalahan Imigresen. Mereka yang berusia lima hingga 46 tahun itu membabitkan warga Indonesia, India dan Bangladesh," katanya.

Menurutnya, semua 25 lelaki, 11 wanita dan seorang kanak-kanak perempuan itu dibawa ke Pejabat Penguatkuasa Jabatan Imigresen negeri di Shah Alam untuk tindakan lanjut.

"Kes berkaitan kesalahan tiada dokumen perjalanan sah dan tamat tempoh pas itu disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," katanya.

Beliau berkata, Jabatan Imigresen akan menjalankan operasi secara berterusan bagi membanteras kewujudan PATI di negeri ini.

Disiarkan pada: January 3, 2018 @ 5:40pm
d