mutakhir

Disangka tidur, rupanya mati

Oleh Rohaida Omar

PAK Andam ditemui mati di dalam bilik tidurnya di rumah tidak bernombor di Guchil 6, Kuala Krai, 10 pagi tadi.

Mayat Rudy Alpian Zahari, 37, yang lebih dikenali sebagai Aechik ditemui tidak sedarkan diri oleh rakan serumahnya yang cuba mengejutkannya daripada tidur.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai Superintendan Abdullah Roning berkata, pemeriksaan lanjut di lokasi kejadian menemui kesan tompokan darah di bawah bantal yang digunakan mangsa.

"Kita turut menemui kesan darah di bahagian kanan dan kiri leher mangsa. Bagaimanapun, kita dapati tiada kesan geledah di biliknya.

"Punca kematian mangsa masih belum diketahui dan mayat dibawa ke Hospital Kuala Krai (HKK) untuk bedah siasat," katanya di sini, semalam.

Sementara itu, rakan serumah mangsa, Mohammad Yaacob, 47, berkata, dia cuba mengejutkan mangsa bangun daripada tidur.

Katanya, mengikut perancangan awal mereka sepatutnya pergi ke sekolah berhampiran untuk menggubah bunga.

"Bagaimanapun, selepas beberapa kali mengejut Aechik, dia masih tidak sedarkan diri. Saya mendapati badannya sejuk dan tiada denyutan nadi.

"Saya kemudian terus hubungi polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Disiarkan pada: January 3, 2018 @ 6:53pm
d