mutakhir

Tokan ketum ibu kota tumpas [METROTV]

Oleh Mohd Hasbi Sidek

Kuala Lumpur: Dalang penjualan air rebusan ketum di ibu kota dibongkar apabila polis berjaya menumpaskan Geng Ayah Non yang aktif memproses air ketum untuk pasaran Lembah Klang.

Kumpulan penjenayah didapati menyewa sebuah rumah teres di Jalan Bakubang 1, Taman Setapak di sini, dengan kadar RM1,300 sebulan semata-mata untuk dijadikan dapur merebus dan membungkus air khayal itu.

Sindiket didalangi lelaki berasal dari negeri di utara tanah air itu bagaimanapun ditumpaskan polis dalam serbuan jam 3.45 petang Isnin lalu.

Turut ditahan dalam serbuan itu tiga lelaki yang menjadi ‘tukang masak’ selain rampasan daun serta air ketum dianggarkan bernilai RM6,376.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mazlan Lazim berkata, serbuan dilakukan pasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju.

Beliau berkata, pihaknya menyerbu rumah berkenaan sebelum menahan empat suspek berusia 21 hingga 56 tahun.

“Siasatan mendapati kumpulan itu diketuai seorang lelaki dikenali sebagai Ayah Non.

‎“Polis yang melakukan pemeriksaan lanjut merampas 96 bungkus daun ketum seberat 96 kilogram (kg), 217 bungkusan air ketum seberat 173.6 liter dan satu besen besar berisi 20kg daun ketum.

‎“Dua daripada suspek ditahan didapati positif dadah jenis methaphetamine. Manakala Ayah Non didapati mempunyai enam rekod jenayah, ” katanya ketika sidang media di IPK Kuala Lumpur, di sini, semalam.

Beliau berkata, semua suspek ditahan reman selama tujuh hari sehingga 7 Januari depan untuk siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Katanya, bekalan daun ketum diperoleh dari negeri di utara sebelum ia diproses di rumah yang disewa.

‎ “Mereka mendapat permintaan tinggi di sini dengan memperoleh keuntungan kira-kira RM20,000 sebulan.

‎ “Setiap bungkusan mengandungi 1 liter air dijual dengan harga RM10,” katanya.

Disiarkan pada: January 4, 2018 @ 9:11am
d