mutakhir

Kandas 18 jam

Oleh Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

Lipis: Selepas 18 jam terkandas di Hutan Pasir Berekit, Sungai Kechau di sini, 15 individu termasuk dua kanak-kanak yang mengikuti aktiviti rekreasi di hutan berkenaan berjaya dibawa keluar jam 3 petang, semalam.

Semua mangsa berusia lima hingga 56 tahun dibawa keluar dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Mangsa ditemui ialah adik-beradik dikenali Mukriz, 5, dan Muiz Muzilysham, 10, serta bapa mereka, Muzilysham Mustafar, 43, yang berasal dari Kampung Kuala Keloi, Raub dan bertugas di Ibu Pejabat APM, Kuala Lumpur.

Mangsa lain Mohd Nurshaharuddin Mohd Khidir, 48, Norfarif Atan, 50, Mohd Anwar Amir, 36, Mohd Ridzuan Samsury, 34, Mohd Husni Mat Lasar, 42 dan Wan Mohamad Jamil Wan Yakub, 39.

Redzuan Ghazali, 50, Mohd Zamri Zakaria, 56, Yaakub Yahya, 34, Mohd Nazri Abd Latif, 37, Mohd Azahari Othman, 33 dan Mohd Hafiz Rosnan, 34.

Ketua Polis Daerah Lipis Superintendan Azry Akmar Ayob berkata, semua mangsa ditemui kira-kira jam 3 petang dalam keadaan selamat.

Katanya, kumpulan itu masuk ke hutan berkenaan pada Sabtu lalu untuk aktiviti rekreasi dan memancing namun tidak dapat berbuat demikian kerana hujan lebat.

“Ketua kumpulan, Amir Rosdan Ramli, 38, bersama seorang rakannya mengambil keputusan keluar dari kawasan itu bagi meminta bantuan dengan menumpang bot penduduk yang kebetulan datang memancing.

“Dia kemudian membuat laporan di Balai Polis Padang Tengku jam 8 malam (kelmarin) dan susulan itu satu operasi mencari dan menyelamat dilancarkan jam 9.30 malam (kelmarin),” katanya.

Menurutnya, operasi terpaksa dihentikan kira-kira jam 1 pagi semalam berikutan keadaan semakin gelap.

“Operasi SAR disambung hari ini (semalam) dengan bantuan APM dan JBPM membabitkan empat pegawai serta 25 anggota,” katanya.

Disiarkan pada: January 4, 2018 @ 9:17am
d