mutakhir

Empangan mini ditimbusi pasir [METROTV]

Oleh Nazdy Harun

Kuala Berang: Banjir yang melanda beberapa kawasan di daerah ini sejak minggu lalu turut mendatangkan kesan kepada empangan mini yang membekalkan air ke Madrasah Addiniah Azzakiah, Kampung Lubuk Periuk di sini, berikutan ditimbusi pasir serta ranting kayu.

Pemilik madrasah Zaki Mansur, 43, berkata, empangan mini yang terletak tiga kilometer dari madrasah itu dibina dengan kos RM26,000 hasil sumbangan pelbagai pihak serta mengambil masa tiga bulan untuk disiapkan.

Menurutnya, empangan itu baru dua bulan beroperasi dan banjir sebelum ini menyebabkan kawasan takungan di kawasan air terjun Bukit Balak Hulu Sungai Celah itu tersumbat serta perlu diselengara bagi membolehkan madrasah terbabit menerima bekalan air bersih yang mencukupi.

“Penggunaan empangan mini itu dilihat alternatif terbaik berikutan pelajar semakin ramai dan penggunaan air semakin meningkat mendorong saya untuk memikirkan jalan bagi mengurangkan perbelanjaan membayar bil bekalan air.

“Menggunakan kaedah ini hanya memerlukan sekali saja kos berbanding menggunakan bekalan air paip yang mana bilnya perlu dibayar setiap bulan tetapi penyelenggaraan perlu dilakukan setiap bulan bagi membersihkan kawasan empangan terbabit,” katanya.

Menurutnya, madrasah berkenaan buat masa sekarang mempunyai 40 pelajar dan penggunaan air juga banyak, sekali gus kaedah penggunaan air bukit dilihat satu cara lebih cekap serta menjimatkan kos pengurusan madrasah.

Katanya, aktiviti membersihkan empangan mini juga satu aktiviti riadah bagi menghilangkan tekanan pembelajaran harian pelajar selain dapat menyihatkan fizikal kerana pelajar perlu ke bukit dengan pengawasan kakitangan madrasah dan penduduk setempat yang lebih berpengalaman.

Zaki berkata, saban tahun kampung itu dilanda banjir dan pihaknya sedia maklum mengenai fenomena alam itu malah kawasan madrasah sudah empat kali dilanda banjir sepanjang tahun lalu.

“Dua kali kawasan madrasah ini ditenggelami air setinggi 1.3 meter manakala pernah satu ketika ia dinaiki air sedalam satu meter termasuk kejadian kelmarin.

“Kami terpaksa meminta semua pelajar berlindung di surau atau dewan supaya mudah memantau keselamatan mereka berbanding tinggal di pondok kerana sukar pihak pengurusan melihat keadaan mereka,” katanya.

Menurutnya, setiap pondok menempatkan seorang pelajar. Oleh itu ketika banjir amat berbahaya bagi pelajar tinggal berseorangan dan mereka akan dipaksa untuk ke surau dan dewan bagi berlindung buat sementara waktu.

Pelajar remaja amat diberi perhatian oleh pihaknya kerana bimbang mereka bermain banjir hingga mengancam nyawa.

Disiarkan pada: January 4, 2018 @ 9:44am
d