mutakhir

Sayang nak makan! [METROTV]

Oleh Nabihah Kamal

Klang: Cantik sehingga sayang nak makan. Mungkin itu yang terdetik di fikiran jika melihat kek jeli tiga dimensi (3D) dihasilkan Nur Sumiyah Muhammad Hussin, 30, di Kampung Budiman, Meru di sini.

Menurut Nur Sumiyah, dia mula mempelajari cara pembuatan kek jeli itu sejak Oktober, 2016.

Katanya, dengan menggunakan nama Jarum Manis, dia mempromosikan hasil kerjanya itu di laman sosial seperti Facebook (FB) dan Instagram.

“Teringin mahu cuba apabila lihat gambar kek jeli di FB dan menyangka kek itu tidak wujud di negara ini sebelum ada ahli keluarga yang menjadikannya sebagai hantaran perkahwinan,” katanya yang juga graduan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan.

Nur Sumiyah berkata, dia belajar menghasilkan kek itu daripada wanita warga Vietnam.

“Selama dua bulan saya belajar dan sudah jadi kebiasaan jika ada percubaan yang tidak menjadi. Bagaimanapun, saya tidak pernah putus asa.

“Kini, selain menjual kek itu, saya turut buka kelas untuk mengajar teknik membuat kek jeli 3D kepada orang ramai,” katanya yang meninggalkan kerjaya sebagai eksekutif akaun sejak dua tahun lalu bagi memberi tumpuan kepada perniagaan kek jeli itu.

Menurutnya, ada tempahan dan memintanya berkongsi ilmu penghasilan kek jeli itu dari luar negara seperti Indonesia dan India.

“Bukan hanya dari dalam negara, orang luar negara juga ada membuat tempahan. Namun saya tidak dapat terima kerana sukar dikirimkan kerana teksturnya lembut.

“Kalau mereka sanggup datang ke Meru, Klang untuk belajar, pasti saya tidak menolak untuk berkongsi ilmu,” katanya.

Menurut Nur Sumiyah, dia menggunakan bahan seperti lobak, bunga telang dan buah naga untuk dijadikan pewarna bagi menghasilkan corak pada kek berkenaan.

“Saya akan cucuk pewarna jeli bagi menghasilkan corak bunga dan tulisan serta impak 3D ke dalam kek jeli sebelum ia dikeraskan di dalam peti sejuk.

“Pembuatannya memakan masa sehingga lima jam bagi sebiji kek,” katanya.

Disiarkan pada: January 4, 2018 @ 10:34am
d