mutakhir

Sungai Golok lepasi paras amaran

Oleh Syaherah Mustafa

PENDUDUK di sekitar Rantau Panjang mula bimbang apabila paras air Sungai Golok semakin meningkat dan mencapai paras amaran, hari ini.

Mengikut laporan infobanjir.water.gov.my, setakat jam 9 pagi ini, paras air Sungai Golok setinggi 8.07 meter dan melepasi paras amaran setinggi lapan meter.

Seorang penduduk, Bahari Mamat, 47, berkata, dia mengambil tindakan awal dengan mengemas rumah dan menyimpan dokumen penting kerana bimbang banjir gelombang kedua akan melanda.

Menurutnya, beberapa hari lalu, dia ada meninjau paras air di Sungai Golok berdekatan rumahnya di Kampung Parit Air yang akan banjir jika air sungai berkenaan mula melimpah.

“Maklumat daripada media tempatan mengenai keadaan banjir di beberapa kawasan di pantai timur juga menunjukkan tanda yang gelombang kedua sudah berlaku.

“Mengikut pengalaman saya yang hampir setiap tahun menghadapi banjir, jika hujan masih berterusan dalam beberapa hari ini, limpahan air sungai akan berlaku, sekali gus menyebabkan banjir.

“Beberapa kawasan rendah di kampung ini sudah dinaiki air, namun masih terkawal,” katanya ketika ditemui di Pengkalan Gergaji, hari ini.

Katanya, aktiviti perniagaan di pekan masih berjalan seperti biasa dengan kunjungan orang tempatan dan dari luar Kelantan.

Menurutnya, jika air sungai menunjukkan paras bahaya, kebanyakan penduduk dan peniaga akan bersiap sedia untuk berkemas atau berpindah ke kawasan selamat.

Mengikut portal e Banjir Kelantan, paras tiga sungai utama lain juga berada di paras amaran iaitu Sungai Lebir di Tualang (31.97 meter), Sungai Kelantan di Tangga Krai (23.11 meter) dan Jambatan Guillemard (14.41 meter).

Sementara itu, Sekolah Kebangsaan Pasir Kelang, Kuala Krai ditutup hari ini berikutan dinaiki air dan jalan perhubungan terputus yang membahayakan nyawa guru dan murid, sekali gus menjejaskan 168 murid dan 20 guru.

Disiarkan pada: January 4, 2018 @ 11:35am
d