mutakhir

Semoga adik cepat sembuh

Oleh Mohd Hilmie Hussin

MURID lelaki tahun dua cedera di kepala dan anggota badan selepas dilanggar kereta yang sedang mengundur di sebuah sekolah di Jasin, hari ini.

Dalam kejadian 6.50 pagi, murid Sekolah Kebangsaan Air Baruk, Jasin itu sedang berjalan dalam kawasan sekolah.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik negeri Superintendan Mohd Sham Abdullah berkata, ketika kejadian, pengawal keselamatan sekolah terbabit yang juga lelaki berusia 62 tahun sedang parkir keretanya berhampiran bangunan sekolah untuk mengambil barang.

“Sebaik pengawal keselamatan itu memasuki kereta, dia mengundur dan kemudian memandu ke depan sebelum seorang guru menjerit memintanya menghentikan kereta kerana seorang murid sudah dilanggar.

"Murid terbabit dilanggar ketika kereta itu mengundur namun terseret sebaik kereta terbabit maju ke depan," katanya.

Beliau berkata, mangsa dalam keadaan sedar dikejarkan ke Hospital Jasin bagi mendapatkan rawatan sebelum dipindahkan ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.

"Mangsa mengalami kecederaan termasuk berdarah di kepala selain kecederaan kecil di bahagian badan.

"Begitupun, dia dalam keadaan stabil dan kecederaan dialaminya tidak serius," katanya yang turut lega murid terbabit tidak digilis tayar kereta.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam pada itu, Mohd Sham menggesa ibu bapa yang menghantar murid terutamanya sekolah rendah tidak memasuki kawasan sekolah kerana dibimbangi berlaku kemalangan membabitkan kanak-kanak terbabit.

Disiarkan pada: January 4, 2018 @ 2:23pm
d