mutakhir

Ibu dan nenek direman seminggu

Oleh Ibrahim Isa

POLIS menahan reman seorang wanita berusia 56 tahun dan anaknya berusia 18 tahun bagi membantu siasatan kes dera hingga mati seorang kanak-kanak lelaki di Kulai, Johor, semalam.

Ketua Polis Daerah Kulai Superintendan Dzulkhairi Mukhtar berkata, dua beranak itu ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan berhubung kematian anak kepada remaja perempuan berkenaan.

Menurutnya, siasatan mendapati nenek mangsa itu tidak bekerja dan tinggal di serumah dengan anaknya yang bekerja sebagai juruwang.

Semalam Harian Metro melaporkan kanak-kanak lelaki berusia dua tahun itu dihantar ibunya ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim (HTSMTI), Kulai, dalam keadaan tidak bernafas, kira-kira 7.30 malam semalam.

Dzulkhairi berkata, polis menerima maklumat dari kakitangan HTSMTI yang menyatakan kanak-kanak itu maut disyaki didera.

"Hasil pemeriksaan awal, kita mendapati terdapat pendarahan di kedua-dua telinga mangsa selain kesan lebam di kepala sebelah kirinya.

"Selain itu, terdapat kesan lebam lama di belakang badan mangsa dan takungan air di kerongkongnya," katanya.

Menurutnya, ibu kanak-kanak itu yang bekerja sebagai juruwang di sebuah pasar raya ditahan kira-kira 8 malam semalam di hospital berkenaan.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Berita berkaitan

Semoga syurga untukmu...

Disiarkan pada: January 4, 2018 @ 3:55pm
d