mutakhir

Tragedi redah banjir

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

REMAJA lelaki menjadi korban kedua banjir di Pahang selepas mayatnya ditemui di depan rumah di Kampung Tiram, Kuantan, 1 pagi hari ini.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Rosli Ab Rahman berkata, mangsa Muhammad Al Asyraf Danial Mohd Al Asadi, 17, dipercayai terjatuh dalam air banjir pada 12 tengah malam sebelum mayatnya ditemui sejam kemudian.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati remaja itu dikatakan pergi ke rumah kawannya di Kampung Tiram sebelum berjalan kaki meredah banjir untuk pulang ke rumah keluarganya di Kampung Permatang Badak, Kuantan.

“Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya kepada pemberita, di Kuantan, hari ini.

Rosli berkata, kejadian itu sudah dimaklumkan kepada ahli keluarga mangsa dan dijangka urusan pengebumian jenazah akan disempurnakan petang ini.

Semalam murid lelaki berusia tujuh tahun, Mohd Faris Aqeel Mohd Afif, 7, menjadi korban pertama banjir di Pahang selepas dia ditemui lemas dalam longkang berhampiran rumahnya di Kampung Padang Jaya, Kuantan.

Disiarkan pada: January 4, 2018 @ 4:53pm
d