mutakhir

Ramai kena saman

Oleh Mohd Hilmie Hussin

SEBANYAK 156 saman dikeluarkan polis pada Operasi Bersepadu yang dilakukan di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) berhampiran Melaka Sentral, Melaka hari ini.

Operasi yang diketuai Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik negeri, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) itu berlangsung lebih tiga jam bermula 10 pagi.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Mohd Sham Abdullah berkata, 250 kenderaan diperiksa dalam operasi terbabit.

"Kesalahan paling banyak dilakukan adalah penggunaan nombor pendaftaran fancy (tidak mengikut spesifikasi), diikuti cermin gelap, cukai jalan tamat tempoh dan tidak memiliki lesen memandu.

"Selain itu, JPJ mengeluarkan 29 notis kepada pesalah trafik, manakala dua diambil tindakan oleh SPAD serta tiga tindakan diambil JAS," kata Mohd Sham, ditemui selepas operasi terbabit.

Beliau berkata, pihaknya turut menyelesaikan satu waran tangkap membabitkan kesalahan trafik di Alor Gajah.

"Kita juga menjalankan ujian air kencing secara rambang ke atas 25 individu dan semuanya didapati negatif," kata Mohd Sham.

Disiarkan pada: January 4, 2018 @ 5:01pm
d