mutakhir

Mufti kata haram...

Oleh Idris Musa

KOSTUM anime atau adi wira dihukumkan haram sekiranya ia mendedahkan aurat serta menyerupai dewa dalam agama, kepercayaan lain atau rekaan seperti Beerus, Haruhi Suzumiya dan Deus Ex Machina, kata Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri.

Katanya, sekiranya kostum itu memerlukan belanja yang besar sehingga membazir, maka ia juga diharamkan.

"Pemakaian kostum yang bertujuan untuk menyerupai sesuatu watak adalah perkara yang dilarang sama sekali.

"Sekiranya ada yang mempersoalkan kaitan pemakaian kostum dewa-dewa dengan akidah, kami katakan bahawa ia bukan isu tergugat atau rosaknya akidah tetapi ia adalah isu jati diri seorang Muslim," katanya menerusi siri terbaru Bayan Linnas berkenaan hukum memakai kostum atau cosplay.

Mengulas lanjut, katanya, pemakaian kostum boleh jadi sama ada membawa kepada pembaziran harta, masa atau sebaliknya, maka ia adalah membuang masa dan tidak bermanfaat.

"Prinsip kehidupan umat Islam adalah meninggalkan sesuatu perkara yang dirasa tidak penting dalam kehidupan mereka. Ini kerana, perkara itu tidak akan mendatangkan apa-apa faedah dalam kehidupan umat Islam.

"Justeru, dengan meninggalkan perbuatan seperti menghabiskan masa mencari kostum yang tidak mendatangkan apa-apa faedah, lebih baik masa yang ada digunakan untuk menuntut ilmu atau melakukan perkara lebih berfaedah," katanya.

Beliau bagaimanapun menjelaskan, kostum kartun kanak-kanak antaranya seperti Didi and Friends, Omar dan Hana dibolehkan dengan syarat ia hanya dikhususkan untuk hiburan dan pembelajaran kanak-kanak semata-mata.

"Selain itu, ianya bukanlah sentiasa dan kerap dengan pakaian sedemikian kerana kanak-kanak juga perlu faham bahawa karakter berkenaan hanya khayalan semata-mata.

"Begitu juga maskot sukan di mana hukumnya adalah harus sebagai menaikkan semangat dan hiburan kepada penonton semata-mata dengan syarat-syarat seperti yang disebutkan," katanya.

Disiarkan pada: January 4, 2018 @ 5:30pm
d