mutakhir

'Generasi saya Wawasan 2020, generasi anda TN50'

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

KENYATAAN dan tuduhan oleh bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad mengenai Transformasi Nasional (TN50) adalah tidak tepat serta pandangan peribadi semata-mata.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin, sebagai menteri yang bertanggungjawab atas pengumpulan aspirasi belia untuk TN50, amat kesal dengan kenyataan Dr Mahathir.

"TN50 adalah kesinambungan kepada perancangan jangka panjang yang sudah menjadi amalan dalam usaha membangunkan Malaysia.

"Antara perancangan jangka masa panjang utama yang memacu pembangunan negara adalah Dasar Ekonomi Baru (1971-90) dan juga Wawasan 2020 (1991-2020) yang telah menghasilkan, antara lain, Dasar Pembangunan Nasional dan Dasar Wawasan Negara.

"Oleh kerana Wawasan 2020 akan tamat pada tahun 2020, kita perlu ada satu aspirasi negara baharu yang mengambil kira perkembangan terkini yang tidak wujud ketika Wawasan 2020 diperkenalkan," katanya dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Katanya, rakyat Malaysia ingin melihat kerajaan meletakkan sasaran yang lebih tinggi untuk 30 tahun akan datang dan bukannya menjadi sebuah negara yang stagnant dan tidak lagi mengejar kemajuan.

Khairy berkata, TN50 juga terpaksa mengambil kira perkembangan yang baru yang tidak wujud dahulu berikutan Wawasan 2020 yang tidak dapat menyediakan Malaysia untuk berdepan dengan gangguan teknologi.

Menurutnya, Wawasan 2020 juga tidak menjangkakan Revolusi Industri Keempat yang bakal mengubah model pembangunan ekonomi dunia.

"Malah, Wawasan 2020 juga tidak mengambil kira perkembangan masa depan yang ketara seperti penuaan masyarakat, kadar urbanisasi yang pantas dan keperluan untuk menjana tenaga hijau.

"Ini antara sebab TN50 diperlukan kerana perkara-perkara ini adalah pola baharu yang tidak terkandung dalam Wawasan 202," katanya.

Dalam pada itu, beliau melihat wujud perbezaan ketara antara TN50 dan Wawasan 2020 termasuk dari segi pendekatan dan pelaksanaan.

Katanya, dalam menyediakan TN50, kerajaan mengambil pendekatan bottom-up dan menghormati suara rakyat dengan puluhan ribu aspirasi dikumpul daripada jutaan rakyat Malaysia supaya masa depan negara dibina atas impian dan aspirasi rakyat sendiri.

"Ini berbeza dengan Wawasan 2020 yang tidak mengumpulkan suara rakyat tetapi adalah satu top-down vision yang diumumkan oleh Dr Mahathir bermula dengan satu ucapan pada tahun 1991.

"Secara mudahnya, TN50 bukan semata-mata legasi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, kerajaan Barisan Nasional (BN) atau UMNO sebaliknya legasi setiap rakyat Malaysia yang berkongsikan aspirasi mereka," katanya.

Katanya, satu lagi perbezaan ketara ialah Wawasan 2020 tidak mempunyai pelan pelaksanaan yang teliti berbanding TN50 yang bakal melihat satu pelan pelaksanaan yang teliti bersama dengan sasaran kuantitatif yang jelas.

Sementara itu, Khairy berkata, Wawasan 2020 tidak gagal kerana berdasarkan ramalan Bank Dunia, Malaysia dijangka melepasi nilai ambang negara berpendapatan tinggi (Pendapatan Negara Kasar perkapita sebanyak USD12,236 (RM49,923) seawal tahun 2020 dan selewat-lewatnya pada tahun 2024 bergantung kepada faktor ekonomi dunia.

"Pencapaian itu adalah satu-satunya sasaran jelas Wawasan 2020," katanya.

Katanya, beliau juga ingin menjelaskan TN50 bukan usaha untuk mengalihkan tumpuan rakyat daripada Wawasan 2020 malah, tiada ada langsung usaha untuk mengalih pandangan rakyat melalui TN50, atau melalui apa jua cara.

Menurutnya, pada semua dialog TN50, beliau sentiasa menyebut TN50 sebagai kesinambungan kepada perancangan jangka masa panjang dahulu seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan Wawasan 2020.

"Saya tidak pernah menidakkan Wawasan 2020. Walaupun saya tidak setuju dengan pelbagai dasar dan pendekatan Tun Dr Mahathir sewaktu beliau menjadi Perdana Menteri, antara perkara yang saya setuju dan sokong adalah Wawasan 2020.

"Malah, saya bangga menjadi sebahagian daripada Generasi Wawasan 2020 dan saya mahu anak muda hari ini merasa bangga kerana mereka adalah Generasi TN50," katanya.

Disiarkan pada: January 4, 2018 @ 7:14pm
d