mutakhir

Syor cuti tanpa rekod

Oleh Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Majikan disaran memberi pelepasan cuti tanpa rekod kepada pekerja yang mahu menyertai aktiviti kesukarelawan dan kebajikan.

Pengerusi Yayasan Salam Malaysia Datuk Ahmad A Talib berkata, cabaran mendapatkan tenaga sukarelawan terutama pada hari bekerja amat sukar memandangkan ramai terikat dengan tugas hakiki.

“Berdasarkan pengalaman bertahun-tahun dalam kerja kesukarelawan ini, kami dapati sukar mencari sukarelawan sedangkan kami memerlukan mereka bukan pada hari minggu saja.

“Ini kerana jika sukarelawan bekerja di syarikat swasta atau kerajaan, mereka sukar mendapat pelepasan kecuali menggunakan cuti tahunan.

“Ia akan membuatkan individu bekerja itu berfikir dua kali untuk menjadi sukarelawan kerana cuti tahunan mungkin perlu digunakan untuk tujuan lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program bicara Breakfast Talk Integriti: Sukarelawan; Suka, Rela atau Sebaliknya di Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI) di sini, semalam.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif INTEGRITI Datuk Dr Anis Yusal Yusoff dan Pengerusi Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) Datuk Zuraidah Atan.

Oleh itu, pihaknya mencadangkan kerajaan, mungkin melalui Kementerian Sumber Manusia memberi peluang bagi membolehkan individu berkerja memohon cuti tanpa rekod untuk melakukan aktiviti kesukarelawan.

“Mungkin majikan boleh tetapkan dalam setahun, ada jumlah hari untuk cuti tanpa rekod.

“Pemohon juga perlu memohon cuti itu dengan menyertakan dokumen sokongan termasuk maklumat seperti tarikh, tempat, jenis kerja yang disertai dan sebagainya bagi mengelak salah guna peluang,” katanya.

Sementara itu, Dr Anis Yusal berkata, budaya berintegriti boleh dipupuk menerusi kerja amal dan sukarelawan iaitu melakukan kerja dengan kehendak sendiri tanpa dipaksa.

“Semangat sukarelawan perlu kita terapkan kembali bermula daripada institusi kekeluargaan kerana ia adalah asas kepada perpaduan sesebuah negara,” katanya.

Disiarkan pada: January 5, 2018 @ 10:11am
d