mutakhir

Pemuda maut motor terbabas

Oleh HM Digital

Johor Bahru: Seorang pemuda berusia 22 tahun maut selepas motosikal Yamaha 135 LC ditunggangnya terbabas dan meluncur sejauh 50 meter dalam kemalangan
di Kilometer 13 Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam, pada jam 8.30 pagi, semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara (JBU), Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad berkata, mangsa dikenali sebagai Rubendran berasal dari Taman Ungku Tun Aminah, maut di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Katanya, kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggang mangsa yang melalui lorong kanan jalan berkenaan tiba-tiba membrek dan terjatuh.

“Mangsa kemudian meluncur kira-kira 50 meter dan jatuh
di lorong tengah jalan tiga lorong. Mangsa bagaimanapun meninggal dunia
di tempat kejadian akibat parah di kepala,” katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati kemalangan disyaki berlaku akibat mangsa terbabas.

“Siasatan mendapati tiada kesan pecah atau serpihan kenderaan lain di tempat kejadian dan ketika itu, kami dapati keadaan jalan kering dan lalu lintas baik.

“Selain itu, terdapat garisan putus-putus pembahagi lorong dan kemalangan dipercayai berlaku di lorong kanan dan meluncur ke lorong tengah,” katanya.

Menurutnya, mayat dihantar ke Hospital Kulai untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

Disiarkan pada: January 5, 2018 @ 10:17am
d