mutakhir

Penuntut kolej hidup mewah hasil jual dadah

Oleh HM Digital

Kuching: Kehidupan mewah dua penuntut kolej swasta sejak beberapa bulan lalu menemui noktah selepas kegiatan pengedaran dadah yang dijalankan mereka dihidu polis dalam serbuan di rumah di Stutong, di sini, petang kelmarin.

Serbuan jam 2.30 petang di kediaman ke dua lelaki yang masing-masing berusia 19 dan 21 tahun itu membawa kepada rampasan pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM37,440.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak Superintendan Sahar Abdul Latif berkata, pihaknya menjalankan intipan sejak beberapa hari lalu mengenai kegiatan haram dua sahabat terbabit.

Menurutnya, dalam serbuan itu, polis menemui ekstasi, erimin 5, jus buah campuran esktasi dan ketamin yang disimpan suspek dalam beg plastik di atas katil dalam bilik di rumah berkenaan.

“Suspek dipercayai menjalankan kegiatan haram ini sejak pertengahan tahun lalu dan menyasarkan pengunjung kelab malam sekitar Kuching sebagai pelanggan utama.

“Selain itu, suspek juga menjual dadah berkenaan kepada penagih lain di sekitar daerah ini namun kegiatan mereka dilakukan secara tersembunyi bagi mengelak dihidu polis,” katanya, semalam.

Disiarkan pada: January 5, 2018 @ 10:29am
d