mutakhir

Air pasang besar cecah lantai awal pagi

Oleh HM Digital

Sandakan: Kira-kira 30 penghuni daripada tujuh rumah atas air di Kampung Bahagia, Batu Sapi, di sini, yang tidur ‘cemas’ apabila rumah mereka dinaiki air sehingga paras lantai akibat fenomena air pasang besar, awal pagi, semalam.

Kejadian air pasang yang bermula jam 10 malam itu bagaimanapun beransur surut dan pulih sepenuhnya beberapa jam kemudian.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Zon Sandakan Leftenan Ahmad Roslan Mohd Kamel berkata, pihaknya menerima maklumat jam 11.30 malam sebelum sepasukan anggota APM Sandakan bergegas ke lokasi untuk pemantauan.

“Anggota APM mendapati pada jam 1 pagi, paras air laut dilaporkan setinggi 266 sentimeter (sm) sehingga tujuh rumah di kampung berkenaan dinaiki air sehingga paras lantai.

“Bagaimanapun, semua penghuni rumah berkenaan tidak berpindah dan menunggu air surut,” katanya, semalam.

Ahmad Roslan berkata, pihaknya juga menjalankan pemeriksaan di perkampungan atas air di Kampung Tinusa 2, dekat Batu 7.

“Pemeriksaan di kampung itu mendapati ada jambatan ditenggelami air pasang besar. Namun ketika itu belum ada mana-mana rumah penduduk dimasuki air,” katanya.

Disiarkan pada: January 5, 2018 @ 10:32am
d