mutakhir

Buaya sambar kaki anak

Oleh Khalid Latip

Betong: “Kejadian berlaku dalam masa sangat singkat. Rakannya memberitahu, buaya itu menyambar kaki kiri anak saya sebelum mengheretnya ke dalam sungai,” kata Abang Suip Abang Ali, 52.

Dalam kejadian jam 5.30 petang kelmarin, anak lelaki Abang Suib, Abang Haikal, 12, hilang dibaham buaya ketika memancing di Sungai Dit dekat Kampung Melayu Dit, Debak di sini.

Abang Haikal yang juga anak bongsu daripada lapan beradik itu memancing di tebing sungai berkenaan bersama rakannya sebelum seekor buaya muncul lalu menyambar mangsa.

Abang Suip berkata, awal pagi sebelum kejadian itu, anaknya sempat pergi ke rumah datuknya untuk bermain dengan sepupunya.

“Tiada sebarang petanda pelik. Dia memang anak aktif dan patuh pada orang tua. Saya tidak sangka semalam (kelmarin) hari terakhir saya melihatnya. Saya masih terkejut selepas dimaklumkan mengenai kejadian itu,” katanya, semalam.

Menurut Abang Suip, setakat ini, baju anaknya dijumpai pasukan mencari dan penyelamat (SAR) yang memulakan operasi menyelamat sejak jam 8 malam, kelmarin.

Meskipun mengakui peluang menemui Abang Haikal masih hidup terlalu nipis, Abang Suip berkata, dia sekeluarga tetap menaruh harapan anaknya ditemui selamat.

“Apa lagi yang kami boleh harapkan, mudah-mudahan anak saya selamat. Saya juga berterima kasih kepada semua yang membantu mencari anak saya itu,” katanya.

Operasi SAR dijalankan penduduk kampung bersama Angkatan Pertahanan Awam, Bomba dan Penyelamat dan polis.

Disiarkan pada: January 5, 2018 @ 10:35am
d