mutakhir

Memang ada unsur dera

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

POLIS masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kanak-kanak berusia dua tahun tiga bulan yang meninggal dunia disyaki didera dan sejak bila kejadian dera itu berlaku.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Dzulkhairi Mukhtar berkata, pihaknya juga masih menyiasat sama ada kejadian dera terhadap kanak-kanak itu berlaku di rumahnya atau di tempat lain.

"Perkara ini masih dalam siasatan dan kita tidak menafikan kemungkinan mangsa didera di tempat lain.

"Kita masih dalam tempoh siasatan untuk mengenal pasti punca kejadian dan juga di mana mangsa didera," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai, hari ini.

Semalam, Harian Metro melaporkan menurut jiran mangsa, kanak-kanak mangsa dera itu bersikap aktif sehari sebelum meninggal dunia.

Jiran itu turut mendakwa ahli keluarganya juga sempat bergurau dengan kanak-kanak berkenaan sebelum hari kejadian.

Menurut jiran mangsa, dia tidak pernah mendengar jeritan luar biasa mangsa atau melihat sebarang kecederaan pada tubuh mangsa sebelum ini.

Kanak-kanak lelaki itu dihantar sendiri ibunya ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim (HTSMTI), Kulai, dalam keadaan tidak bernafas, kira-kira 7.30 malam, kelmarin.

Dzulkhairi berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan pihak HTSMTI, semalam mendapati terdapat banyak kesan lebam dan luka di seluruh badan mangsa selain kecederaan dalaman.

"Hasil bedah siasat yang dijalankan ke atas mayat mangsa, mendapati memang ada unsur-unsur dera dengan banyak kesan lebam dan luka di badannya serta terdapat kecederaan dalaman," katanya.

Ibu kanak-kanak itu yang berusia 18 tahun dan bekerja sebagai juruwang ditahan reman tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Turut direman sehingga Rabu ini, adalah nenek kepada mangsa yang berusia 56 tahun.

Berita berkaitan

Semoga syurga untukmu...

Ibu dan nenek direman seminggu

'Nenek mangsa menyayanginya'

Disiarkan pada: January 5, 2018 @ 3:26pm
d