mutakhir

Banjir kilat di Georgetown

Oleh Zuhainy Zulkiffli

SEGELINTIR peniaga di astaka makanan Jalan Perak, Georgetown tidak dapat membuka gerai masing-masing selepas kawasan terbabit dilanda banjir kilat, awal pagi hari ini.

Ia berikutan hujan lebat sejak malam tadi menyebabkan beberapa kawasan di sekitar Georgetown dinaiki air.

Peniaga gerai nasi ayam, Mohamed Ansar Ali Dharijthullah Khan, 20, berkata, dia bersama bapanya, Dharijthullah Khan Kamal, 49, tiba di astaka berkenaan pada 10 pagi selepas banjir mulai surut.

Menurutnya, walaupun gerai dinaiki air, dia bersyukur kerana tiada peralatan rosak terutama peti sejuk bagi menyimpan bahan mentah.

Katanya, peti sejuk berkenaan baru sahaja dibaiki dengan kos sebanyak RM1,200 selepas rosak ditenggelami air banjir besar pada November tahun lalu.

"Mujurlah banjir kilat pagi tadi tidak membimbangkan dan tiada barangan rosak kerana kami masih trauma dengan kejadian itu (banjir besar) yang menyebabkan kerugian sehingga RM3,500.

"Terdapat kira-kira 1,000 pengunjung yang menikmati makanan tengah hari, petang dan malam di sini, namun kami reda dengan musibah yang terjadi," katanya yang baru tiga tahun berniaga di situ.

Tinjauan Harian Metro ke astaka terbabit mendapati kira-kira 10 gerai tidak beroperasi dan tiada kerosakan teruk berlaku.

Sementara itu, pengguna jalan raya, Siti Habibah Mansor, 36, berkata, dia tidak akan lupa kejadian terperangkap dalam air deras di Jalan Perak ketika menghantar anaknya ke sekolah berhampiran.

Katanya, kesesakan lalu lintas menyebabkan keretanya berada lama dalam air sehingga dua kali enjinnya mati.

"Semua pengguna jalan raya seakan berebut melepasi air berkenaan menyebabkan keadaan menjadi tidak terkawal.

"Mujurlah dua penunggang motosikal bertindak membantu mengawal jalan raya sehingga kenderaan teratur semula," katanya.

Antara kawasan lain yang terbabit dalam banjir kilat itu ialah Jalan P Ramlee, Kampung Makam, Lebuh Kimberly, sekitar Stadium Bandaraya, Lorong Baru dan sekitar Penjara Pulau Pinang, Lebuh Cecil, Jalan Sungai Ujong, Jalan Magazine, Lebuh McNair, Lebuh Campbell, Jalan Pintal Tali dan Lebuh Cintra.

Jurucakap Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MBPP) berkata, jalan yang tidak dapat dilalui itu turut menyebabkan kesesakan lalu lintas.

Manakala di Jalan Batu Feringgi dan Teluk Bahang mengalami kesesakan lalu lintas berikutan terdapat pokok tumbang dan bongkah batu menggelongsor.

Disiarkan pada: January 5, 2018 @ 5:20pm
d