mutakhir

Malaysia, Indonesia sepakat bebaskan nelayan

Oleh Hayati Ibrahim

ENAM nelayan Malaysia yang kini ditahan di Indonesia kerana menceroboh perairan negara itu dijangka dibebaskan dalam tempoh terdekat.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, beliau akan ke Jakarta minggu depan bagi membuat kunjungan hormat ke atas Menteri Kelautan dan Perikanan Indonesia, Susi Pudjiastuti untuk memuktamadkan pembebasan berkenaan.

Katanya, selepas itu beliau menerima nelayan Malaysia yang dibebaskan.

"Saya bertemu duta Indonesia Rusdi Kirana semalam, dan ia adalah satu pertemuan yang amat positif. Kedua-dua pihak kini dalam peringkat akhir proses pembebasan yang dijangka selesai dalam masa terdekat.

"Bagi memperkemaskan lagi persiapan kita, hari ini saya turut mempengerusikan satu lagi mesyuarat penyelarasan bagi memastikan pembebasan nelayan Malaysia dan Indonesia yang ditahan di Malaysia berjalan sebaiknya," katanya dalam kenyataan di Putrajaya, semalam.

Mesyuarat turut dihadiri wakil Kementerian Luar, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Perikanan Malaysia, Jabatan Penjara Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi lain yang berkenaan.

Ketika ini, enam nelayan Malaysia sedang ditahan di Indonesia, manakala 70 nelayan Indonesia pula ditahan oleh agensi penguatkuasaan Malaysia.

Nelayan kedua-dua negara ditahan atas kesalahan menceroboh kawasan perairan masing-masing ketika menangkap ikan.

Ahmad Shabery berkata, perkembangan terbaru mengenai nelayan ini pastinya berita gembira buat keluarga yang sedang menantikan kepulangan nelayan yang ditahan.

Katanya, persetujuan untuk membebaskan nelayan kedua-dua negara adalah hasil kesepakatan dicapai Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Presiden Indonesia Joko Widodo ketika Rundingan Tahunan ke-12 Malaysia-Indonesia pada November lalu.

"Kesepakatan antara Perdana Menteri dan Presiden Jokowi terhasil daripada semangat serumpun yang erat, dan ini memberi kesan positif kepada rakyat kedua-dua negara," katanya.

Disiarkan pada: January 5, 2018 @ 5:46pm
d