mutakhir

Ditahan selepas samun kedai 24 jam

Oleh Rudy Syareme Sheriffudin

LELAKI berusia 35 tahun dicekup polis bersama sepucuk pistol dan 20 peluru selepas disyaki terbabit dalam tiga kes samun kedai 24 jam dalam serbuan di sebuah rumah di Padang Serai, Kedah, hari ini.

Serbuan kira-kira jam 11 pagi itu dilakukan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9), Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) hasil maklumat yang diperoleh polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang Datuk Zainol Samah berkata, satu kejadian samun dilaporkan berlaku di sebuah kedai 24 jam di Jalan Bagan Luar, Butterworth, jam 11.32 malam tadi.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati suspek pada mulanya masuk ke dalam premis dan berpura-pura membeli roti sebelum pergi ke kaunter untuk membuat pembayaran.

Bagaimanapun, menurutnya, suspek terus mengeluarkan sepucuk pistol lalu mengacukan ke arah pekerja bertugas dan diminta menyerahkan wang.

“Suspek mengambil wang tunai RM110 dari kaunter sebelum melarikan diri dengan sebuah Proton Perdana.

“Susulan itu, Ops Tutup dilancarkan sebelum polis menerima maklumat awam mengenai identiti suspek dan melancarkan serbuan pada jam 11 pagi di sebuah rumah di Kampung Nagalilit, Padang Serai, Kedah dan berjaya menahan suspek,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di Georgetown, hari ini.

Hadir sama Ketua Polis Daerah SPU Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 392 dan 397, Kanun Keseksaan iaitu samun yang sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 14 tahun atau denda dan sebatan.

Katanya, kes turut disiasat mengikut Seksyen 8, Akta Senjata Api 1971 dan Seksyen 8(a), Akta Senjata Api 1960.

Disiarkan pada: January 5, 2018 @ 6:16pm
d