mutakhir

Tokan dicekup, dadah bernilai RM42,425 dirampas

Oleh Razik Zayad

TIGA lelaki dipercayai tokan dadah ditahan bersama pelbagai jenis bahan itu bernilai RM42,425 dalam serbuan berasingan di sekitar Kota Kinabalu dan Penampang, semalam.

Dalam serbuan bermula jam 11 pagi hingga 4 petang itu, suspek yang ditahan berusia antara 32 hingga 42 tahun.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata, hasil maklumat awam dan risikan, polis melakukan serbuan di tiga lokasi berasingan.

Beliau berkata, polis berjaya menemukan 310 gram (g) ketamin; 437 pil ekstasi: serbuk pil ekstasi (403.50 g), lima biji Erimin 5 dan ganja (5 g).

"Dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM42,425.

"Selain itu, polis turut merampas kereta jenis Perodua Viva dan wang tunai RM1,000 daripada salah seorang suspek, " katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, suspek ditahan, dadah dan kereta terbabit dirampas, sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut.

Katanya, berdasarkan siasatan awal, pihaknya percaya dadah itu untuk dijual kepada penagih dadah di sekitar Kota Kinabalu dan Penampang.

Bagaimanapun, polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kes ini.

"Semua suspek kini ditahan reman sehingga 11 Januari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Disiarkan pada: January 5, 2018 @ 6:55pm
d