mutakhir

Bagai makan di restoran terapung

Oleh Nur Izzati Mohamad

AIR naik kira-kira 0.3 meter tidak menghalang peniaga nasi campur membuka gerai makanannya di Mak Mandin seperti biasa.

Naina Mohamad Mustaffa, 67, berkata dia dan isterinya, Umi Kalsom A Bakar, 62 sudah memasak lauk pauk sejak awal pagi tadi biarpun menyedari keadaan hujan berterusan.

“Saya dan isteri tetap meneruskan perniagaan kami pada hari ini kerana sudah menyediakan lauk pauk.

“Alhamdulillah, walaupun gerai kami dinaiki air, masih ramai datang seolah-olah makan di restoran terapung pula,” katanya.

Katanya, dia membuka gerai makanannya seawal 4.30 pagi hingga 3 petang berikutan pelanggannya yang banyak terdiri daripada pekerja kilang sekitar kawasan itu.

Bapa kepada tiga anak itu berkata, dia yang menetap di Kampung Baru Mak Mandin tidak jauh dengan gerainya bersyukur keadaan banjir kilat yang melanda tidak serius seperti November tahun lalu hingga menenggelamkan gerai dan kediamannya manakala peralatan serta perabot habis musnah.

“Seingat saya, banjir kilat di kawasan ini pada tahun lalu sudah lebih daripada 10 kali dan bersyukur kali ini ia tidak terlalu serius.

“Bimbang itu tetap ada apatah lagi di kawasan rumah saya air semakin naik, namun berharap situasi ini akan pulih tidak lama lagi,” katanya.

Menurutnya, faktor pembangunan pesat di kawasan itu dikatakan punca kerap berlaku banjir kilat apabila sistem perparitan tidak diurus dengan baik.

Sementara itu, sebuah lagi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka menjadikan dua PPS di Pulau Pinang akibat banjir kilat sehingga tengah hari ini.

PPS terbaru itu dibuka di Dewan Masjid At Taqwa, Mak Mandin, Butterworth yang menempatkan 20 mangsa daripada lapan keluarga.

Sebelum ini, satu PPS dibuka di Sekolah Agama KAFA Nadhatul Islah, Kubang Semang yang menempatkan lima orang dari satu keluarga.

Disiarkan pada: January 5, 2018 @ 9:02pm
d