mutakhir

Tragedi tangkap itik

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

LELAKI yang mencari itik bersama rakannya di sebuah kolam tadahan air di Bandar Enstek, Nilai, dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam kolam itu, petang tadi.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Nilai Mohd Anuar Awang berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada 6.41 petang sebelum sebuah jentera bergegas ke lokasi.

"Berdasarkan maklumat awal, Shamsudin Mat Jinin, 50, dipercayai mahu menangkap itik di kawasan kolam itu sebelum terjatuh.

"Kejadian disedari rakannya yang turut berada di lokasi. Dia kemudian mendapatkan bantuan orang awam sebelum menghubungi bomba untuk operasi mencari dan menyelamat," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Anuar berkata, operasi pencarian dilakukan dengan bantuan Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2 serta Unit Skuba Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Kemang.

Katanya, setakat jam 8 malam ini mangsa belum ditemui dan operasi pencarian masih diteruskan.

Disiarkan pada: January 5, 2018 @ 9:26pm
d