mutakhir

10 jam kena 'kepung' bah

Oleh Mohd Fauzi Abdullah

WARGA emas Fatimah Mat Dun, 70, berjaya diselamatkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) selepas ‘terkepung’ apabila kawasan rumahnya dinaiki air secara mendadak sehingga mencecah dua meter bermula 8 pagi.

Dia antara 65 mangsa terkandas selepas rumah mereka di Kampung Temai, Pekan selama hampir 10 jam sebelum bantuan tiba untuk memindahkan mereka ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsan (SK) Temai.

Jarak perjalanan masuk ke rumah mangsa kira-kira 1 kilometer dari jalan utama melalui laluan kebun kelapa sawit yang sudah ditenggelami air.

Ketika melangkah masuk ke rumahnya, wartawan Harian Metro yang turut sama menyertai operasi memindahkan mangsa dilakukan JBPM dan anggota Kor Armor Diraja (KAD) Kem Batu 10, Kuantan, raut wajah Fatimah kelihatan lega memandangkan dia tidak mampu berjalan.

Dia yang tinggal bersama suaminya berusia 67 tahun bersyukur diselamatkan selepas terkandas dalam tempoh agak lama.

"Saya nak pergi tempat selamat, rumah sudah hendak tenggelam," katanya.

Pasangan warga emas itu yang tidak mempunyai cahaya mata berterima kasih kepada pasukan penyelamat yang bertungkus-lumus memindahkan mereka.

Turut diselamatkan seorang wanita orang kurang upaya (OKU), Zuzana Mat Jaih, 24, yang juga lumpuh.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pekan Wan Shamsul Effendi Wan Mahmud berkata, operasi memindahkan mangsa selesai jam 7.30 malam.

Katanya, pihaknya mendapat panggilan daripada Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) untuk menyelamatkan mangsa kira-kira jam 3 petang.

"Sehubungan itu, seramai lapan anggota dikerahkan ke lokasi untuk misi memindahkan mangsa menggunakan sebuah lori tiga tan dan bot aluminium.

"Operasi turut mendapat kerjasama anggota tentera, polis dan penduduk kampung," katanya.

Disiarkan pada: January 5, 2018 @ 9:52pm
d