mutakhir

Singapura mansuh, kurangkan tol

Oleh Mary Victoria Dass

SINGAPURA mengumumkan kadar baru tol bagi kenderaan keluar masuk ke negara itu akan disemak semula, termasuk memansuhkan bayaran tol kenderaan memasuki Singapura menerusi Woodlands mulai 1 Februari depan.

Menurut kenyataan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) Singapura, ia selaras dengan usaha memadankan pemansuhan bayaran tol Lebuh Raya Penyuraian Timur (EDL) Malaysia baru-baru ini.

Ketika ini, kenderaan yang keluar dari Singapura menerusi Pusat Pemeriksaan Woodlands perlu membayar antara S$1.90 (RM5.70) hingga S$7.70 (RM23).

Kadar berkenaan akan dikurangkan kepada S$0.50 (RM1.50) hingga S$2 (RM6).

Bagi kereta yang meninggalkan Singapura akan diturunkan daripada S$3.80 (RM11.44) kepada S$1 (RM3).

Pemandu dinasihat memastikan baki mencukupi dalam kad Autopass bagi mengelak kesulitan.

Pemandu perlu menjelaskan tol dan caj tertentu menggunakan mesin bayaran di pondok imigresen.

Mereka yang gagal menjelaskan tol, yuran dan bayaran boleh didenda S$50 (RM150) dan S$100 (RM300) bagi kesalahan berulang.

Jika enggan membayar denda, mereka boleh didakwa di mahkamah dan didenda tidak melebihi S$1,000 (RM3,000) atau penjara tiga bulan.

Disiarkan pada: January 6, 2018 @ 12:59am
d