mutakhir

Manfaat 3,000 pesakit

Oleh Siti Fatimah Nasir

Kuala Lumpur: Dalam usaha menyediakan penjagaan kesihatan tambahan dan kemudahan fisioterapi untuk kanak-kanak, Prudential BSN Takaful Berhad (PruBSN Prihatin) menyumbangkan RM200,000 kepada Persatuan Rakan Institut Jantung Negara (IJN) di sini, semalam.

Presiden Persatuan Rakan IJN, Datin Seri Raja Zuraida Raja Mansur berkata, kerjasama yang terjalin bersama PruBSN sejak 2016 itu antara tanggungjawab sosial korporat untuk membantu ribuan pesakit kanak-kanak yang dirawat di IJN.

“Dengan kerjasama ini, PruBSN Prihatin dan Rakan IJN juga bekerjasama dengan menyediakan sebanyak 1,000 kit kesihatan dan kebersihan untuk pesakit kanak-kanak di hospital ini.

“Dengan sumbangan yang dihulurkan, ia sekali gus membantu kanak-kanak yang menjalani pembedahan jantung atau prosedur jantung supaya berasa selesa apabila tinggal di hospital,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kemudahan Bilik Fisioterapi Baru di Wad Kanak-Kanak IJN, di sini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Datuk Seri Dr Mohd Azhari Yakub dan Ketua Pegawai Pemasaran PruBSN Prihatin, Wan Saifulrizal Wan Ismail.

Tambahnya, menerusi projek fisioterapi yang dijalankan PruBSN Prihatin, semua kanak-kanak yang berada di IJN dapat menikmati pelbagai kemudahan baru yang lebih selesa.

Sementara itu, Wan Saifulrizal berkata, sumbangan yang dihulurkan itu adalah hasil program zakat dan program komuniti PruBSN Prihatin.

“Dengan adanya bilik fisioterapi yang diperbaharui dengan peralatan baru dan canggih, ia akan memudahkan kanak-kanak untuk menjalani rawatan fisioterapi selepas mendapatkan rawatan di IJN sebelum pulang ke rumah.

“Purata hampir 3,000 kanak-kanak akan mendapat faedah dari kemudahan ini setiap tahun,” katanya.

Katanya, diharapkan dengan sumbangan yang diberikan itu dapat digunakan sepenuhnya bagi memenuhi keperluan pihak hospital untuk membantu pesakit kanak-kanak yang memerlukan.

Disiarkan pada: January 6, 2018 @ 8:05am
d