mutakhir

Kuasa kuda pulih saraf

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

Permaisuri: “Sejak anak menjalani terapi berkuda itu, pinggangnya semakin kuat sekali gus mampu berdiri dan duduk seperti orang normal,” kata Romazlina Rosid, 31, ibu Arman Haris Izam, 5, yang mengalami masalah saraf sejak berusia setahun.

Anak kecil itu kini mengikuti Program Terapi Berkuda di Terengganu International Endurance Park (TIEP), Lembah Bidong di sini.

Rosmazlina berkata, dia membawa anak sulung daripada dua beradik itu menjalani terapi berkuda 20 kali sejak dua tahun lalu berikutan kaedah rawatan berkenaan diyakini mampu memulihkan sarafnya.

“Banyak perubahan positif dialami Arman selepas menjalani terapi berkuda itu dan ia memang berbaloi walaupun perlu membayar RM20 bagi setiap sesi terapi.

“Sebelum ini, Arman bukan saja tidak boleh berdiri, malah memerlukan bantuan untuk duduk tetapi selepas menjalani terapi dia boleh buat sendiri.

“Arman juga amat gemar aktiviti terapi ini dan saya mahu meneruskannya sehingga dia pulih dan boleh berjalan seperti kanak-kanak seusianya,” katanya.

Menurutnya, dia pernah membawa Arman menjalani pelbagai terapi lain tetapi program berkuda itu paling sesuai dan menunjukkan perubahan positif.

Katanya, sebagai ibu bapa dia sanggup buat apa saja untuk melihat Arman membesar normal dan yakin anaknya mampu pulih sekiranya menjalani terapi berterusan dengan kaedah betul.

“Melihat perubahan positif Arman, saya sarankan ibu bapa yang ada anak istimewa turut mencuba kaedah terapi berkuda.

“Pergerakan kuda menyebabkan saraf bermasalah pulih dan ia wajar dicuba untuk merawat masalah dihadapi,” katanya.

Hamdillah Ab Rahman, 39, dari Kampung Batu Buruk pula berkata, dia yang menghidap barah usus tahap dua sejak 2012 dan pernah koma sebulan serta terlantar dua bulan.

Menurutnya, selepas menjalani terapi berkuda dia sihat seperti biasa dan secara tidak langsung menyebabkannya menceburi sukan kuda lasak.

“Sebelum ini saya bertongkat untuk berjalan tetapi sejak menjalani terapi ini boleh berjalan seperti biasa,” katanya.

Sementara itu, Pengurus TIEP Wan Mohd Kamaluddin Wan Yusof berkata, pihaknya dalam proses melatih 38 penyelia program terapi yang disediakan di TIEP pada awal Februari nanti.

“Kami menyediakan program terapi berkuda untuk memberi kemudahan kepada orang ramai yang ada masalah kesihatan terutama kanak-kanak kurang upaya (OKU) untuk menjalani pemulihan.

“Dengan kemudahan di TIEP ini, kami yakin terapi berkuda boleh dijalankan dengan baik cuma memerlukan jurulatih yang berpengalaman.

“Kami mendapat kerjasama dan latihan daripada pelbagai pihak termasuk Skuad Berkuda Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL),” katanya yang kini menjalankan program berkenaan di Terengganu Equestrian Resort (TER) Kuala Ibai, Kuala Terengganu.

Disiarkan pada: January 6, 2018 @ 8:54am
d