mutakhir

Randuk air, tolak bot, kutip timun

Oleh Mohd Rafi Mamat

PEKEBUN yang mengusahakan sayur-sayuran di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Inderapura, Kuantan, hampir kerugian besar apabila kawasan itu ditenggelami banjir.

Bagi mengelak menanggung kerugian, setiap hari mereka menggunakan bot gentian kaca untuk memungut hasil tanaman yang menggunakan kaedah fertigasi.

Pekebun, Datuk Asmawi Kassim, 46, berkata timun yang diusahakan di kawasan 1.2 hektar kini sudah mengeluarkan hasil dan mencapai tempoh matang untuk dipungut.

Katanya, dia bersyukur walaupun keseluruhan kawasan kebun ditenggelami air, semua pokok masih baik.

“Jika saya guna cara lama menanam atas tanah, kerugian besar mungkin terpaksa ditanggung kerana hampir keseluruhan TKPM Inderapura ditenggelami banjir sejak Khamis lalu,” katanya.

Asmawi berkata, dia tidak menyangka hujan berterusan beberapa hari lalu menyebabkan banjir.

Menurutnya, sebelum ini bencana itu tidak pernah berlaku di TKPM Inderapura.

“Sejak kawasan kebun dilanda banjir, kami guna bot gentian kaca untuk kutip timun setiap hari,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Pertanian Kuantan, Amir Dzulfadli Samad, berkata pekebun perlu pungut hasil mengikut jadual walaupun terpaksa berdepan pelbagai masalah.

Menurutnya, kegagalan mengeluarkan timun yang matang akan menyebabkan kerugian.

Disiarkan pada: January 6, 2018 @ 11:25am
d