mutakhir

'Dia' datang tiga pagi

Oleh Nor Hidayatidayu Razali & Muhamaad Razis Ismail

Kota Bharu: Tragedi pekarangan rumah diceroboh gajah selama tiga hari berturut-turut menjadikan sebuah keluarga di Kampung Air Kayan, Jeli sentiasa hidup dalam ketakutan.

Zakaria Yusoff, 48, berkata, haiwan liar itu ‘mengunjungi’ rumah dihuni bersama isteri Norhayati Zakaria, 44, dan empat anak mereka bermula jam 1 pagi, 10 Disember lalu.

Katanya, kehadiran binatang itu pada kali pertama hanya disedari mereka yang ketika itu tidur apabila terdengar bunyi bising di halaman rumah.

“Apabila saya menjenguk menerusi tingkap, nampak seekor gajah memusnahkan pokok kelapa di hadapan rumah.

“Kawasan rumah tidaklah sebesar mana dan ketika itu gajah berada hanya 12 meter saja dari kami yang membuatkan saya fikir soal mati sekiranya ia naik minyak.

“Kami takut kerana apa-apa kemungkinan boleh berlaku. Selepas itu, saya ingatkan takkan ada gangguan lagi, rupanya dia buat ‘lawatan’ tiga hari berturut-turut,” katanya ketika dihubungi.

Zakaria berkata, gajah sama juga memusnahkan pagar rumahnya pada keesokan harinya dan kebun pisang penduduk di kawasan berdekatan sebelum hilang.

Demi keselamatan, dia mengadu hal itu kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).

“Pada hari kedua dan ketiga, gajah itu muncul sekitar jam 3 pagi dan membuat onar sama. Ia buat bising dan musnahkan pokok kelapa lain di hadapan rumah.

“Saya cuba halau dengan membuat bunyi dan ia akan lari ke kawasan kebun. Sehinggalah PERHILITAN datang dengan bantuan, barulah kami rasa selamat sikit,” katanya.

Menurutnya, kawasan rumahnya dipasang lampu berkelip warna biru bagi tujuan menakutkan gajah daripada menghampiri kawasan itu.

“Setakat ini, Alhamdulillah ia berjaya dan kami belum lagi terima ancaman terbaru. Harap-harap ia berterusan,” katanya.

Disiarkan pada: January 7, 2018 @ 9:09am
d