mutakhir

Habis rosak dirempuh lori

Oleh Norizuan Shamsuddin

TIGA kedai mengalami kerosakan selepas dirempuh lori di simpang tiga Pekan Batu 14, Hulu Langat, Kajang, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 5 pagi itu, kedai menjahit pakaian, kedai papan iklan dan bengkel motosikal rosak dilanggar lori pasir.

Mangsa, pemilik premis perniagaan papan iklan, Ahmad Nizam Mado, 48 berkata, kejadian menyebabkan kedai yang disewanya sejak 15 tahun lalu hampir musnah sepenuhnya.

Manakala premis perniagaan lain hanya mengalami kerosakan di bahagian hadapan sahaja.

"Sewaktu kejadian saya berada di rumah dan seorang pekerja saya memaklumkan kedai mengalami kerosakan teruk akibat dilanggar lori.

"Difahamkan kejadian berlaku apabila lori pasir 50 tan dari arah Ampang terbabit cuba membelok ke kanan sewaktu di simpang tiga lampu isyarat Pekan Batu 14.

"Bagaimanapun, kenderaan terbabit dipercayai hilang kawalan akibat mengalami masalah brek dan melanggar lima kedai yang terletak di bahagian tepi jalan berkenaan," katanya ketika ditemui.

Jelasnya, kejadian tidak menyebabkan kecederaan kepada mangsa dan pemandu lori berkenaan hanya cedera ringan sahaja.

Pemilik kedai termasuk pemandu lori berkenaan sudah membuat laporan polis.

“Kami serahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut berhubung kejadian," katanya.

Disiarkan pada: January 7, 2018 @ 3:18pm
d