mutakhir

Lori muatan balak terbalik hempap pemandu

Oleh Ramli Ibrahim

PEMANDU lori muatan balak maut selepas dihempap lori dipandunya yang terbalik di Kilometer 8 Jalan Gua Musang-Jeli, Gua Musang, hari ini.

Dalam kejadian 3.30 petang itu, mangsa Hee Beng Chye, 71, yang parah di kepala dan badan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Mohd Taufik Maidin berkata, ketika kejadian mangsa memandu lori sarat muatan balak dalam perjalanan dari Pos Pulat ke Gua Musang.

"Bagaimanapun ketika sedang menuruni bukit di lokasi kejadian, lori dipandu terbabas ke sebelah kiri jalan sebelum mangsa tercampak keluar dan ditimpa kenderaan berat terbabit.

"Usaha mengeluarkan mangsa yang tersepit di bawah kepala treler itu mengambil mangsa sejam dengan menggunakan kren.

"Pemeriksaan lanjut mendapati mangsa maut di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan. Mayat dibawa ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat," katanya.

Menurutnya, kemalangan itu turut mengakibatkan 25 balak bergelimpangan di atas jalan dan menyebabkan kesesakan.

Disiarkan pada: January 7, 2018 @ 7:02pm
d