mutakhir

'Syukur, alhamdullillah...'

Oleh Farah Suhaidah Othman

RUMAH usang milik lelaki warga emas di Kampung Tersusun Batu 8, Ulu Kinta, Ipoh, dirobohkan dalam masa tidak sampai setengah jam oleh sepasukan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta untuk dibina semula menerusi Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

Program yang dilaksanakan Giatmara Malaysia Negeri Perak itu turut disertai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ulu Kinta, Datuk Aminuddin Md Hanafiah serta dibantu 30 anggota PGA Ulu Kinta.

Warga emas berkenaan, Mohd Zain Md Said, 80 berkata, dia kini tinggal bersama isterinya berusia 60 tahun dan seorang anak lelakinya yang hanya bekerja sebagai pemotong rumput.

Katanya, dia bertuah kerana akhirnya kediaman yang didiami sejak 1982 itu mendapat perhatian Giatmara selepas beberapa kali permohonan untuk membaik pulih rumahnya ditolak.

“Syukur, alhamdulillah nasib kami terbela dengan adanya sumbangan berkenaan, dapatlah berlindung dalam rumah yang selesa selepas siap nanti,” katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.

Hadir sama dalam gotong-royong itu, Komander Briged Utara PGA Ulu Kinta, Senior Asisten Komisioner Mohd Shahar Ibrahim.

Sementara itu, Aminuddin berkata, lima rumah di sekitar daerah Kinta dipilih untuk menerima peruntukan pembinaan semula dan baik pulih dengan kos RM56,000 bagi setiap rumah.

“Kita mendapatkan khidmat anggota PGA dengan ihsan Komander PGA Ulu Kinta untuk merobohkan rumah usang berkenaan.

“Dengan kekuatan yang ada, tidak sampai setengah jam rumah berkenaan dirobohkan dan itu membuktikan bahawa rumah terbabit benar-benar usang dan perlu dibina semula.

Menurutnya, pembinaan rumah itu akan dijalankan kontraktor GiatMara dan dijangka siap dalam tempoh 12 minggu.

Disiarkan pada: January 7, 2018 @ 7:38pm
d