mutakhir

Pengurusan terbaik

Oleh Mohd Fauzi Abdullah dan Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

PENGURUSAN mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di beberapa negeri yang terjejas adalah yang terbaik dan kerajaan sentiasa memastikan semua mangsa dibantu dengan sewajarnya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, keberkesanan pengurusan banjir itu adalah hasil kerjasama pelbagai agensi sama ada di peringkat negeri ataupun pusat.

"Saya sempat melawat beberapa kawasan di Parlimen Pekan hari ini dan secara keseluruhan, semuanya berjalan lancar.

"Sudah pasti ini adalah membuktikan bahawa kaedah pengurusan (mangsa) banjir yang dilaksanakan kerajaan adalah terbaik," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melakukan lawatan di Dewan Orang Ramai Seri Damai, Kuantan, hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Manis, Datuk Khairuddin Mahmud dan Pengerusi Biro Kebajikan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan juga mengucapkan terima kasih kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim dan semua pegawai, agensi dan badan bukan kerajaan (NGO) yang turut sama menghulurkan bantuan kepada semua mangsa banjir di Pahang.

Beliau juga menjangkakan semua mangsa banjir akan dapat pulang ke rumah masing-masing berikutan keadaan banjir di Pahang bertambah baik.

Disiarkan pada: January 7, 2018 @ 7:52pm
d