mutakhir

'Saya tak tahu dia berkelakuan pelik'

Oleh HM Digital

Kuala Lumpur: Pernah rapat dengan Iqram Dinzly suatu ketika dulu, pelakon Fouziah Gous, 35, akui tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku kepada pelakon itu.

Kata Fouziah, dia sebenarnya sudah lama tidak berhubung dengan Iqram dan masing-masing sudah ada kehidupan sendiri.

“Saya tidak membaca atau mengikuti perkembangannya di laman sosial. Memang saya tidak tahu mengenai dakwaan dirinya murung dan berkelakuan pelik.

“Kenapa sampai jadi begitu? Mungkin kerana ayahnya meninggal dunia dan dia melayan perasaannya. Bila ada masa nanti, saya akan bertanya kepada kawan-kawan lain mengenai perkara itu,” katanya kepada Harian Metro.

Fouziah yang berkahwin dengan Mohd Zhafran Mohd Yusof pada 21 September 2013, kini bahagia dengan kehadiran dua cahayamata, Muhammad Zeeshan, 2, dan Zaheen Yusof yang lahir 9 November lalu.

Katanya, dia ada mengucapkan takziah kepada Iqram ketika ayahnya meninggal dunia 10 Oktober lalu.

“Itu kali terakhir saya berhubung dengannya. Ketika itu saya sarat mengandung anak kedua. Menyusul selepas itu, saya melahirkan anak kedua dan menjalani tempoh berpantang.

“Sebab itu saya tidak tahu apa yang berlaku kepadanya,” katanya.

Disiarkan pada: January 8, 2018 @ 11:43am
d